Kelahiran banyak penyedia Sistem Kewangan Islam sejak kebelakangan ini memberi nafas baru kepada masyarakat
Inisiatif pihak Bank
Negara Malaysia (BNM) memberikan lesen-lesen penubuhan Perbankan Islam dan
Takaful kepada beberapa institusi kewangan yang layak seharusnya dipuji dan
dihargai kerana ia telah memudahkan masyarakat membuat pilihan untuk
mendapatkan perkhidmatan kewangan yang adil, telus dan efisien.
Benarlah sabda
Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi 'Amru Jarir bin Abdullah r.a. yang
memuji tindakan sedemikian rupa di mana mafhumnya berbunyi: Barang
siapa yang menunjukkan (mempermudahkan sesuatu urusan) perkara kebaikan, maka
baginya pahala dan pahala sesiapa yang beramal dengannya selepas itu tanpa
dikurangkan sedikitpun daripadanya. (riwayat
Muslim)
Jika sebelum ini, umat
Islam tidak mempunyai pilihan malah terpaksa menerima sistem yang
bercampur-baur dengan sistem yang tidak senada dengan Islam.
Keadaan ini mewujudkan
kegelisahan dan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam. Namun kini,
alhamdulillah, kemunculan Sistem Kewangan Islam dengan pelbagai inovasi
seolah-olah menjadi 'penyelamat' kepada umat manusia daripada terus-menerus
dibelenggu oleh sistem yang hanya meletakkan keuntungan duniawi semata-mata.
Malangnya, ada juga
sesetengah pihak yang masih berat hati untuk turut serta menyokong dan melibatkan
diri dalam memajukan sistem Islam ini dengan mencipta seribu satu alasan.
Malah, ada juga suatu
golongan yang cuba
untuk memburukkan imej Sistem Kewangan Islam ini dengan cubaan-cubaan halus
bagi melumpuhkan usaha murni ini.
Kepada golongan tersebut,
diperingatkan satu firman Allah yang bermaksud:
Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. ( Surah Ibrahim: Ayat 3)
Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. ( Surah Ibrahim: Ayat 3)
Sebagaimana yang
dimaklumi, institusi Takaful sebagai contohnya, adalah merupakan Institusi
Perlindungan (Insurans) yang berteraskan prinsip Islam.
Institusi ini
selayaknya disokong dengan bersungguh-sungguh kerana ia merupakan suatu sistem
yang menjamin keadilan dan kesejahteraan kepada ummah.
Perlindungan menerusi
sistem takaful mempunyai kelebihan yang tidak boleh disangkal lagi berbanding
dengan sistem perlindungan konvensional. Di bawah sistem perlindungan takaful para
peserta yang menyertai mana-mana-mana pelan perlindungan diprogramkan untuk
sama-sama mempraktikkan konsep tolong-menolong yang diredai Allah untuk
sama-sama meringankan beban rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan.
Semangat ini akan
melahirkan masyarakat yang tidak mementingkan diri sendiri, tidak sombong malah
mereka akan sentiasa prihatin kepada persekitaran mereka.
Islam sangat
menggalakkan umatnya agar tolong menolong dalam perkara kebaikan seperti yang
dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat
2 surah al-Maidah, maksudnya: … hendaklah kamu bertolong-tolongan
untuk membuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada
melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…
Sistem takaful juga
bebas dari unsur-unsur gharar
(syubhat), riba dan juga maisir (judi). Tiadanya unsur
gharar secara mudahnya memberi maksud bahawa sistem takaful adalah satu sistem
yang telus , tidak menyembunyikan fakta dan tidak mengamalkan seperti pepatah
Melayu "ada udang di sebalik batu".
Di antara nilai negatif di sebalik unsur riba
adalah mengambil kesempatan, menindas golongan yang dalam kesusahan dan
mengeksploitasi untuk kepentingan sendiri. Oleh itu, tidak hairan apabila kita
melihat pengamal sistem yang berteraskan riba ini mereka hanya mementingkan
diri mereka sendiri, sanggup menindas orang lain , sentiasa mencari jalan untuk
mengumpulkan kekayaan sendiri dan lebih dahsyat lagi tiada perasaan belas
kasihan dalam diri mereka.
Hal ini sebaliknya berlaku, dalam sistem Takaful
yang tidak mengamalkan riba, nilai-nilai tanggungjawab bersama, tolong menolong
dan menjaga kemaslahatan umum menjadi keutamaan.
Begitu juga dengan
unsur maisir. Unsur
ini menjadikan pengamalnya tamak dan rakus tanpa memikirkan hak dan kepentingan
orang lain. Sistem Takaful yang tiada unsur ini sebaliknya mementingkan
semangat persaudaraan dan kepentingan bersama sebagai satu teras yang
menunjangi aktivitinya.
Menerusi sistem Takaful
seseorang peserta itu juga dapat melakukan amalan yang sangat terpuji dalam
Islam iaitu dapat menunaikan tanggungjawab sosialnya menerusi amalan tabarru' (derma).
Dalam sistem takaful
setiap peserta akan memperuntukkan sebahagian atau semua daripada sumbangannya
untuk didermakan bagi membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah.
Derma dalam sistem
takaful ini adalah derma kelas pertama. Ini kerana menerusi sistem ini
seseorang peserta dapat melakukan derma dengan ikhlas sebagaimana derma yang
dituntut oleh Islam.
Ia seperti yang
digambarkan dalam sabda baginda daripada Abi Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w
baginda bersabda,:
Tujuh
golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada sebarang naungan
melainkan naungan Allah, pemimpin yang adil, pemuda yang hidup dalam ibadat
kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang
lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerana Allah,
seorang lelaki yang digoda oleh wanita yang berkedudukan dan cantik lalu dia
berkata sesungguhnya aku takut kepada Allaah dan seorang lelaki yang melakukan
sedekah secara tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang
diberikan oleh tangan kanannya dan seorang lelaki yang mengingati Allah secara
bersendirian lalu bergelinangan air matanya. (Muttafaqun 'alaih)
Namun perlu ditegaskan
keistimewaan konsep ini adalah ia tidak hanya bermanfaat kepada orang Islam
semata-mata. Sebaliknya, ia turut memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa
mengira pegangan agama.
Sistem takaful juga menyediakan peluang kepada
masyarakat untuk memainkan peranan sebagai pendakwah yang berusaha mengembangkan produk muamalat Islam
dengan menyertai dan menyokong sistem ini.
Ini kerana takaful adalah alternatif kepada
sistem insurans konvensional sebagaimana yang disimpulkan oleh Badan Petugas
Penubuhan Syarikat Insurans Islam Di Malaysia 1983.
Malah masyarakat juga berpeluang melakukan
jihad menentang sistem jahiliah (sistem perlindungan konvensional) yang telah
difatwakan haram menurut Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1972.
Pada masa yang sama
apabila menyertai sistem yang berteraskan sistem Islam ini sebenarnya ia
memberi peluang untuk beribadat yang merupakan satu menifestasi pengabdian,
kepatuhan dan ketundukan kepada perintah Allah yang memerintahkannya supaya
melakukan makruf dan meninggalkan mungkar sebagaimana firman Allah dalam surah
al-Baqarah ayat 25.
Kesimpulannya, sudah
tiba masanya untuk kita melibatkan diri dan bekerjasama untuk memartabatkan
sistem takaful ini.
Sokongan padu
diperlukan dari semua pihak agar hasrat murni untuk memerdekakan umat manusia
daripada terus berada di bawah cengkaman sistem yang bersifat duniawi
semata-mata kepada sistem yang boleh membawa kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.
Kini dengan adanya kemudahan
kewangan Islam seperti perbankan dan takaful di pasaran yang ternyata lebih
baik dan lebih menjamin kemaslahatan, maka ianya bukan lagi menjadi pilihan
yang lebih baik malah, ia telah menjadi satu tuntutan atau kewajipan untuk
memilih kemudahan kewangan Islam ini.
Sila berhubung dengan perunding kewangan Takaful anda:
Hj Badaruddin Bin Selamat
HP: 0129267377(Wakil Takaful Ikhlas)
Email: selamatbadaruddin48@gmail.com
Blog:http//:penerajukeimanan.blogspot.com
Blog:http//:penerajukeimanan.blogspot.com
No comments:
Post a Comment